DIREKTORI PENULIS WILAYAH UTARA

DIREKTORI PENULIS WILAYAH UTARA

    Pada awal tahun 2007, Unit Penerbitan, DBP Wilayah Utara akan berusaha mengumpul maklumat peribadi para penulis yang berasal dari Wilayah Utara untuk didokumentasikan. Projek pengumpulan maklumat ini bertujuan menghasilkan Direktori Penulis Wilayah Utara .

     Untuk makluman semua penulis, kriteria pemilihan penulis yang layak disenaraikan dalam direktori ini mestilah mempunyai tidak kurang daripada 10 karya eceran berbahasa Melayu dalam pelbagai genre. Karya-karya tersebut mestilah pernah diterbitkan dalam majalah, akhbar, buku, antologi atau media penerbitan lain.

 

     Selain itu, penulis atau karyawan yang telah menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku dalam bahasa Melayu (apa jua bidang) dan telah diterbitkan juga layak disenaraikan dalam direktori ini. Manakala penulis skrip drama pentas, radio, televisyen, filem dan penterjemah yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 karya yang pernah diterbitkan atau disiarkan juga layak untuk disenaraikan dalam direktori ini.

 

     Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara menaruh harapan yang tinggi agar para penulis yang lahir di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sumatera Utara dan Wilayah Selatan Thailand yang menepati kriteria yang ditetapkan seperti disebutkan di atas berhubung dengan pihak urus setia bagi membantu pihak kami mendapatkan maklumat yang diperlukan. Borang direktori ini boleh didapatkan melalui laman web DBP (www.dbp.gov.my) atau datang sendiri di pejabat DBP Wilayah Utara. Penulis juga boleh menghantar maklumat diri yang lengkap kepada pihak urus setia direktori tanpa mengisi borang yang disediakan tetapi perlu menghantar maklumat lengkap tersebut berserta gambar berukuran pasport untuk dimuatkan dalam direktori tersebut.

 

     DBP Wilayah Utara amat berharap usaha menerbitkan direktori ini dapat dijayakan dan mendapat kerjasama daripada karyawan dan para penulis ke arah merealisasikan hasrat kami untuk mendokumentasikan maklumat diri para penulis di Wilayah Utara untuk tatapan generasi akan datang. Selain itu, projek ini juga diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama penulis khususnya di Wilayah Utara.

 

     Borang maklumat diri yang telah lengkap diisi berserta gambar berukuran pasport bersaiz 3.5cm x 4.5cm bolehlah dihantar kepada pihak Urus Setia, Direktori Penulis Wilayah Utara, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Peti Surat 144, 14007 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Puan Syahida Ahmad (syahida@dbp.gov.my) atau Encik Mohd Hafiz bin Salim (shafiz@bp.gov.my) di talian  04-5377241/42/43/44 atau e-mel utara@dbp.gov.my.



Kemaskini pada 2016-11-15 13:16:38 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.