KOIR

 KUMPULAN KOIR

 Imbas Kembali: Berita Bergmbar

Kumpulan Koir DBP telah ditubuhkan pada tahun 1979, dengan bilangan ahli ketika itu seramai 15 orang.  Kumpulan ini pernah dibimbing oleh tenaga pengajar yang berkaliber dalam bidang muzik seperti Ratu Bagus Sanoesi, Allahyarham Tuan Haji Abdul Hamid Baharuddin dan Tuan Haji Mahzan Manan KMN.  Hasil daripada bimbingan mereka, kumpulan koir ini telah berjaya membuat persembahan dalam pelbagai majlis yang diadakan di DBP, di peringkat kebangsaan dan di peringkat antarabangsa.  Antara majlis yang melibatkan persembahan kumpulan koir DBP, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, Sambutan Ulang Tahun DBP, Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN), Gerakan Cintailah Bahasa Kita, pelancaran buku dan perasmian seminar, Meraikan Pejuang-pejuang Kebangsaan Menentang Malayan Union, Malam Mawar Merah anjuran Pergerakan Wanita UMNO, Hari Angkatan Pelukis Se-Malaysia dan Malam Puisi Tanah Air.  Lantaran kecemerlangan tersebut, ahli kumpulan ini semakin bertambah dari semasa ke semasa sehingga berjumlah 45 orang.

Kecemerlangan tidak sahaja tertumpu pada persembahan semata-mata, malahan kumpulan koir DBP turut aktif menganjurkan pelbagai aktiviti luar seperti Bengkel Nyanyian Paduan Suara dan Bengkel Latihan Vokal yang dikendalikan oleh tenaga pengajar profesional.  Ahli kumpulan ini dilengkapkan dengan ilmu seni muzik seperti 


 Kumpulan Koir awal tahun 1970-an

teori muzik, teknik vokal dan penulisan lirik lagu.  Hasilnya, kumpulan ini mampu membawakan pelbagai jenis lagu termasuk lagu-lagu berirama tradisional dan patriotik.  Di samping itu, kumpulan ini turut menganjurkan program lawatan menyaksikan persembahan koir dan menjalinkan kerjasama dengan kumpulan koir lain di peringkat negeri dan kebangsaan.  Semua aktiviti tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Mengambil iktibar daripada usaha wira bangsa yang sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk mengharumkan nama negara seperti Dato' Azhar Mansor yang membuat pelayaran solo mengelilingi dunia, wira-wira negara yang berjaya menawan puncak tertinggi dunia, juga sejarah yang tercipta buat julung-julung kalinya di Kutub Utara (sekadar memberikan beberapa contoh), maka kumpulan koir DBP tetap utuh bersatu, berjuang mendaulatkan budaya bangsa.  Kumpulan ini mengorak langkah dengan merakamkan lagu di bawah projek Penerbitan Kaset Korporat DBP, sebanyak 12 buah lagu telah dimuatkan dalam kaset tersebut dengan tema yang mendukung penggunaan bahasa Melayu dan perasaan cinta akan tanah air.

Kini, setelah hampir 25 tahun kumpulan ini ditubuhkan terdapat seramai 25 orang warga DBP yang mendaftar sebagai ahli kumpulan.  Usaha sedang giat dilaksanakan untuk menarik minat lebih ramai warga DBP menganggotai kumpulan ini khususnya generasi baru.  DBP turut melantik Dato' Ibrahim Bachek, untuk membimbing kumpulan ini.  Beliau merupakan seorang tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik.  Semoga dengan pelbagai ramuan yang diadun, menjadikan kumpulan koir DBP lebih mantap, cemerlang dan gemilang, agar matlamat yang dikongsi menjadi realiti.  Kumpulan ini diketuai oleh Encik Razid Sahran.

 


Malam Sinar Seni, Balai Budaya DBP, 29 Julai 1970

 

 



Kemaskini pada 2017-01-10 14:25:10 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.