DBP audit 30 agensi kerajaan

DBP audit 30 agensi kerajaan

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan langkah drastik dengan meng­audit lebih 30 jabatan kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, hasil dapatan penuh daripada proses audit tersebut akan diumumkan selewat-lewatnya pa­da Jun tahun depan. Jelasnya, pelaksanaan langkah itu bertujuan bagi memperbaiki penggunaan bahasa Melayu agar penjawat awam mampu mengha­yati peranan bahasa rasmi itu sebagai satu identiti negara yang perlu dibanggakan. “Walaupun tidak menafikan penggunaan bahasa Inggeris itu penting sebagai bahasa perniagaan, namun penjawat awam dalam masa sama juga perlu berbangga dengan bahasa rasmi negara termasuk memastikan peranannya meliputi bahasa perantara, ekonomi serta perniagaan,” kata­nya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Patriotisme 2014, di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Datuk Dr. Mazlan Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Intan (Pembangunan), Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Intan (Operasi), Datuk Seri Zainal Rahim Seman. Dalam perkembangan sama, Mohamad Zabidi turut menegaskan agar penjawat awam mengamalkan prinsip integriti dalam melaksanakan tugas-tugas selain meningkatkan mutu serta menjaga nama baik jabatan. “Kita terpaksa menelan pahit­nya tanggapan rakyat terhadap perkhidmatan awam apabila ada dalam kalangan pekerja didakwa atas tuduhan pecah amanah, tiada integriti serta mengambil rasuah sedangkan penjawat awam merupakan tiang utama yang akan menjadi penentu kelangsungan anak bangsa,” ujarnya. Beliau turut menasihati penjawat awam agar mempraktikkan nilai-nilai yang berteraskan perasan muhibah seperti bekerjasama, tolong-menolong dan bersatu pada dalam kehidupan masyarakat. “Kerana itulah dalam Kerangka Kerja Transformasi Perkhidmatan Awam (KTPA) menggariskan aspek membudaya nilai sebagai teras strategik kelima. Kita mahu membina pekerja dan rakyat Malaysia yang mempunyai semangat setia dan perasaan cinta terhadap negara,” katanya. - See more at: http:/

 
Dikemaskini pada 11 Dis 2014


Kemaskini pada 2016-11-08 17:48:31 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.