KUALA LUMPUR 30 April - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi kuasa untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat sama ada pengimport atau tempatan yang tidak menggunakan bahasa Melayu pada lebel produk-produk mereka.
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, fungsi DBP kini hanya terhad dalam memberi khidmat nasihat mengenai penggunaan bahasa Melayu dengan betul pada produk atau iklan.
Jika kita memperluaskan bidang kuasa DBP dalam perkara ini, mungkin agensi tersebut dapat membantu mengangkat lagi kedudukan bahasa kebangsaan sekali gus tidak disisihkan produk-produk berkenaan.
Namun sebelum itu, kerajaan perlu memperkemaskan semula peruntukan sedia ada yang melibatkan pelabelan produk-produk ini supaya penggunaan bahasa Melayu adalah diwajibkan dan diutamakan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Beliau mengulas mengenai siasatan yang mendapati penggunaan bahasa Melayu dipinggirkan oleh kebanyakan produk import yang memasuki pasaran tempatan.
Menurut Kok Seong, selain peruntukan sedia ada yang tidak mewajibkan penggunaan bahasa Melayu pada produk import, penguat kuasa yang bertanggungjawab juga tidak tegas dalam mengambil tindakan terhadap produk yang melanggar syarat-syarat seperti yang telah diperuntukkan.
Sebagai contoh, katanya, terdapat sesetengah produk tempatan yang berada di pasaran didapati tidak menggunakan bahasa Melayu walaupun peruntukan-peruntukan sedia ada mewajibkannya berbuat demikian.
Produk-produk import pula, walau disyaratkan menggunakan sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, tetapi terdapat juga produk yang tidak menggunakan langsung kedua-dua bahasa tersebut sebaliknya mengekalkan bahasa dari negara asal," katanya
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140501/lk_04/DBP-tiada-kuasa-pantau,-bertindak?#ixzz30WU8TSG8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Kemaskini pada 2017-02-24 16:53:34 daripada Vox Administrator